Tag

Pelajaran:   Kefahaman Al-Quran (Ayat 155-156 surah al-Baqarah)

Tajuk:          Ujian dan kesabaran 

Tingkatan:  Satu

Bilangan Pelajar:  35 orang

Masa :        40 minit

  Objektif Am :   Pelajar dapat membaca Al-Quran dengan baik dan mengetahui   panduan Al-Quran kepada umat Islam 

  Objektif Khas:  1.  Pelajar dapat menerangkan jenis-jenis ujian Tuhan kepada

                   HambaNya

              2.  Dapat menerangkan tujuan Allah menguji manusia

3.      Dapat menyenaraikan kelebihan orang yang bersabar


Langkah 1.  Induksi set

Setelah bertanya khabar dan berdoa, guru menarik perhatian pelajar dengan soalan-soalan yang ada kaitan dengan tajuk.  Misalnya.  Gambar hujan lebat dan banjir, orang dalam keadaan cemas dan sedang dipindahkah.  Guru bertanya:  Gambar apa ini? Bagaimana perasaan orang yang ditimpa musibah seperti ini?  Dalam keadaan seperti ini apa kita mesti buat? Ya, Islam ajar kita, apabila kita menghadapi kesusahan kita mesti bersabar.  Hari ini kita akan membaca ayat-ayat Al-Quran yang mencerita tentang jenis-jenis musibah sebagai ujian Tuhan kepada kita dan menggalakkan kita supaya bersabar.


Langkah 2.  Membaca ayat Al-Quran

Guru paparkan ayat di hadapan kelas, sama ada dengan tulisan di papan tulis, carta, LCD, tranparensi dan sebagainya. Guru ambil perhatian murid supaya mendengar  bacaan guru.  Guru membaca ayat dengan cermat, baik, betul dan fasih.  Selepas dua kali guru minta pelajar membaca mengikut bacaan guru.  Selepas itu guru minta murid membaca secara perseorangan (bilangan murid bergantung kepada masa).  Guru betulkan bacaan yang salah jika ada.


Langkah 3.  Perbincangan maksud ayat

Guru beri makna ayat atau guru minta murid membaca makna yang ada dalam buku teks atau makna yang ditulis oleh guru dalam carta.  Berdasarkan kepada makna ayat itu guru beri soalan.  Contohnya:  Apakah yang dijelaskan oleh ayat ini?  Apakah jenis ujian Allah kepada manusia seperti yang tersebut dalam ayat ini.  Ada tak ujian selain daripada ini? Sebutkan.  Guru ulaskan semua jenis-jenis ujian itu.  Kemudian guru bertanya:  Kenapakah kita diuji dengan musibah seperti itu.  Guru ulaskan jawapan murid. Guru bertanya lagi.  Apa kita harus buat apabila kita diuji dengan musibah seperti yang tersebut itu? Ya, kita mesti bersabar, kerana bersabar itu banyak faedahnya.

Guru terus berbincang dengan kelas tentang cara bersabar sehingga pelajar faham apa maksud bersabar dan bagaimana tindakan orang yang bersabar berbanding dengan orang yang tidak bersabar.


Langkah 4.  Perbincangan dalam kumpulan

Murid dipencahkan dalam beberapa kumpulan.  Tajuk yang akan dibincangkan ialah;  Apakah hikmah bersabar?.  Jika guru mempunyai tajuk lebih daripada satu boleh dibincangkan tajuk yang berlainan bagi tiap-tiap kumpulan.  Guru nasihatkan supaya setiap kumpulan melantik seorang pengerusi untuk mengandalikan perbincangan dan  seorang jurutulis.  Pesankan bahawa di akhir pelajaran setiap kumpulan akan membentangkan hasil perbincangannya.

            Setelah cukup masa, guru minta setiap kumpulan menghantar wakil ke depan kelas untuk membentangkan hasilnya. Kalau boleh dilekatkan di papan tulis.  Setelah semua kumpulan selesai membentangkan hasil, guru ajak pelajar melihat jika ada yang sama.  Kemudian guru buat rumusan bahawa hikmat bersabar itu ialah………

Lebih baik guru tulis dengan ringkas di papan tulis dan minta pelajar menyalinnya sebagai nota.  Nota inilah yang akan dijawab dalam peperiksaan nanti.

 
Langkah 5.  Penilaian

Guru padam semua catatan yang ada di papan tulis dan guru memberi soalan kepada kelas.  Contohnya: 

–         Sebutkan jenis-jenis ujian yang diberikan Tuhan kepada manusia ?

–         Kenapakah Allah ujikan manusia dengan berbagai macam musibah?

–         Berikan tiga hikmah bersabar?

–         Apa tandanya orang tidak sabar?

–         Apa hukumnya orang yang tidak bersabar?

 

Langkah 6.  Penutup

Guru merumuskan isi pelajaran hari ini dan menasihati pelajar supaya berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat.  Nasihatkan pelajar supaya bersabar apabila ditimpa sesuatu musibah, kerana bersabar itu banyak kelebihannya.  Setiap orang akan diuji oleh Allah dan ujian ini tidak sama antara seorang dengan seorang, dan orang yang bersabar itu mendapat pahala dan dikasihi Allah.

Sebelum mengajar Al-Quran, setiap orang guru haruslah maklum   bahawa mengajar Al-Quran mempunyai maksud yang luas, bukan sekadar boleh membaca sahaja, malah banyak lagi perkara lain yang mesti diberi perhatian dan pertimbangan supaya pengajaran dan pembelajaran benar-benar bermakna bagi pelajar.  Antaranya ialah:
1.
 Guru harus sedar bahawa mengajar Al-Quran bukan sahaja bermaksud pelajar boleh menyebut huruf dan membaca Al-
Quran, tetapi memupuk perasaan cinta kepada Al-Quran serta menjadikan hati mereka jinak dengan Al-Quran.
2.  Guru harus mampu memperdengarkan bacaan Al-Quran yang baik dan fasih sehingga boleh menimbulkan perasaan
khusyuk, tenang dan lega bila mendengarnya.  Dengan demikian menimbulkan minat kepada pelajar untuk terus
mendengar bacaan Al-Quran.  Memang naluri manusia suka mendengar suara atau bunyi yang merdu, kerana bunyi yang
merdu itu boleh menambat hati dan memberi kesan kepada jiwa.  Oleh kerana guru tidak mampu memperdengarkan suatu
yang merdu dari Al-Quran, maka menjadikan pengajarannya hambar dan tidak menarik.   Ini menyebabkan pelajar tidak
berminat kepada Al-Quran, lantas mereka mencari bunyi-bunyian lain yang dianggap lebih merdu, walau pun kita tidak
menganggapnya merdu serta tidak pula harmoni, malah dalam banyak hal, berdosa pula.
3.   Memastikan pelajar mendapat suatu yang baru daripada maksud Al-Quran yang dibaca.  Ini menimbulkan minat untuk
selalu menghadiri kelas Al-Quran kerana ada sesuatu yang ia dapat.
4.   Guru haruslah mengulang-ulangkan tentang kelebihan belajar Al-Quran.  Kelebihan-kelebihan ini bukan sahaja untuk tujuan
kesejahteraan di akhirat, tetapi di dunia pun telah dapat dikecapi dan dinikmati.
5.  Guru harus ingat bahawa Al-Quran ialah kalam Allah yang Qadim.  Bacaannya ibadat, dan mesti dibaca dengan betul,
terang dan fasih mengikut bahasa Arab yang standard.  Kesalahan membacanya dikira salah dan haram.  Jadi guru harus
mencuba sedaya belajar Al-Quran dan boleh membacanya dengan baik, kemudian cuba sedaya yang mungkin untuk
mendidik pelajar supaya mereka dapat membacanya dengan baik dan tidak melakukan kesalahan bacaan pada masa
akan datang. Kesalahan yang tidak dibetulkan itu menyebabkan pelajar melakukan kesalahan yang serupa  berpanjangan
hingga ke akhir hayatnya.
6.  Guru mesti menunjukkan cara yang betul dan jelas untuk menyebut huruf-huruf Al-Quran (makharijil huruf dan sifatnya) dan
yang lain-lain yang berkaitan dengan hukum bacaan seperti dengung (ghunnah), panjang (mad), pendek dan sebagainya.
7.  Tegaskan dari semasa ke semasa bahawa Al-Quran merupakan perlembagaan bagi orang Islam.  Ia adalah kitab
Petunjuk, pembimbing dan pembeda antara yang baik dan buruk.  Oleh itu pelajar harus diberi peringatan bila membaca
Al-Quran, bahawa kita sedang membaca peraturan  Allah s.w.t..  Kita akan amalkan apa yang diperintahkan dalam ayat
berkenaan.
8.  Al-Quran bukan sahaja memberi panduan dan petunjuk kepada semua manusia, tetapi secara terus mendidik akhlak orang
yang beriman.  Jadi apabila berjumpa ayat-ayat berkenaan tegaskan kepada pelajar bahawa inilah ajaran Al-Quran.
9.  Setiap peristiwa yang disebutkan dalam Al-Quran ada hubungan dengan kehidupan harian, jadi, guru harus mampu
menghubungkaitkan dengan kehidupan harian pelajar.  Dengan demikian barulah pelajar faham bahawa Al-Quran bukan
untuk masa dahulu, tetapi ia sentiasa hidup dan menceritakan apa yang dilakukan oleh manusia sekarang.
10. Guru mestilah berakhlak dengan akhlak Al-Quran.  Sekiranya akhlak guru bertentangan dengan Al-Quran, maka ini
menjadikan pendidikan Al-Quran tidak berkesan.   Lebih malang lagi, menjatuhkan maruah guru atau rendah nilai peribadi
guru pada pandangan pelajar, dan ini menyebabkan pelajar tidak menghormati guru.